TONG jerikin yang dirampas daripada lelaki terbabit. FOTO Ihsan PPM
TONG jerikin yang dirampas daripada lelaki terbabit. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


CUBAAN seorang lelaki dari suku Palauh menyeludup keluar 300 liter minyak petrol gagal apabila dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Pulau Sisipan, dekat Semporna, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, suspek yang menggunakan sebuah perahu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Unit Risik Marin (URM) sebelum ditahan di kawasan perairan terbabit.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, siasatan awal mendapati suspek berumur 28 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain mengaku dari suku Palauh dan berasal dari Kampung Kulapuan, Semporna.

“Hasil pemeriksaan dalam ruangan perahu terbabit menemukan 10 tong jerikin dengan setiap satu berisi 30 liter minyak petrol di samping satu tong LPG yang cuba diseludup ke Filipina.

“Suspek juga gagal menunjukkan permit atau dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa barang kawalan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Mohammad Pajari, hasil soal siasat yang dijalankan, suspek juga mengaku memperolehi bekalan minyak petrol terbabit sedikit demi sedikit sebelum diseludup ke Filipina.

Katanya tangkapan dan rampasan dianggarkan berjumlah RM 19,012.00 itu dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 8:43 AM