Noorazura Abdul Rahman


LIMA belas juzuk al-Quran sudah dihafaznya namun, pemuda ini mengambil pendirian untuk mengimbangi ilmu keagamaan dan kemahiran demi masa depan.

Untuk itu, Muhammad Shamil Fakhri Mohd Nazri, 20, mengikuti pendidikan kemahiran di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra dalam kursus Teknologi Kenderaan Perdagangan Berat.

Katanya, keputusan melanjutkan pengajian itu pilihannya sendiri sejak 2018 dan ia memberi dimensi baru dalam hidupnya apabila mempelajari teknologi terkini, selain dapat bergaul dalam komuniti berbeza.

“Sebelum ini saya belajar menghafaz al-Quran di Madrasah Mahazirul Ulum Kampung Bukit Choras, Kota Sarang Semut selama tiga tahun dan di ILP semuanya berbeza.

“Saya diajar membuka dan memasang enjin kenderaan berat seperti sudah bekerja, sekali gus menambah keyakinan diri untuk berhadapan orang ramai,” katanya yang berasal dari Tajar, Kubang Pasu.

MUHAMMAD Shamil Fakhri (kanan) bersama Amir Hamzah (kiri) dilatih membaiki enjin kenderaan perdagangan di ILP Jitra. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
MUHAMMAD Shamil Fakhri (kanan) bersama Amir Hamzah (kiri) dilatih membaiki enjin kenderaan perdagangan di ILP Jitra. FOTO Noorazura Abdul Rahman.

Ditanya caranya membahagikan masa antara menghafaz al Quran dan penuntut ILP, Muhammad Shamil berkata, dia akan memastikan setiap hari dapat menghafaz lima muka surat al-Quran selepas subuh dan selepas maghrib.

Manakala, selepas isyak dia akan menyiapkan tugasan diberikan tenaga pengajar.

“Selepas habis belajar pada Jun nanti, saya akan sambung semula belajar hafazan sehingga tamat 30 juzuk, selain bercadang membuka bengkel membaiki kenderaan,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Sementara itu, seorang lagi pelajar ILP Jitra yang menghafaz al-Quran, Amir Hamzah Kasin, 21, berkata dia tidak akan mempersia-siakan ilmu yang diperolehnya di institut berkenaan dan akan menyambung pelajaran sehingga bergelar guru.

“Saya akan berkongsi pengalaman belajar di ILP dengan rakan huffaz yang lain supaya dapat sama-sama belajar kemahiran.

“Apa saja ilmu yang kita pelajari, semuanya daripada Allah, selepas melengkapkan diri dengan ilmu kemahiran, saya yakin lebih ramai penghafaz al-Quran akan lebih mudah diterima bekerja dalam industri,” katanya yang berasal dari Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 11:32 AM