ZULKIPLI menunjukkan barangan curi yang berjaya dirampas semula oleh pasukan JSJ Bintulu. FOTO Erika George
ZULKIPLI menunjukkan barangan curi yang berjaya dirampas semula oleh pasukan JSJ Bintulu. FOTO Erika George
Erika George

TIGA lelaki yang dipercayai terbabit jenayah pecah masuk restoran di Bintulu, baru-baru ini berjaya ditahan polis di pasar lama Bintulu, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, hasil maklumat serta risikan yang dijalankan, kesemua lelaki tempatan berusia 17 hingga 50 tahun itu ditahan antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan ke atas semua semua suspek turut menemukan empat unit tablet serta dua unit telefon bimbit dipercayai barangan curi.

“Hasil soal siasat ke atas suspek turut menemukan pelbagai barangan curi yang disembunyikan dalam sebuah rumah tumpangan di kawasan pasar berdekatan yang terdiri daripada enam unit telefon bimbit, seunit tablet, tiga unit sarung telefon bimbit, dua unit pengecas bateri dan 10 keping kad tambah nilai telekomunikasi,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, hari ini.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif mengambil dadah syabu dan direman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 8:18 PM