KEADAAN dapur premis makanan yang diarah tutup serta merta oleh MBSA. FOTO ihsan MBSA
KEADAAN dapur premis makanan yang diarah tutup serta merta oleh MBSA. FOTO ihsan MBSA
Ruwaida Md Zain

KOTOR dan menjijikkan. Itulah keadaan dua premis makanan yang diarahkan tutup serta merta oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam Operasi Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan, Selasa lalu.

Operasi MBSA membabitkan dua premis di Kampung Baru Subang, Seksyen U5 dan Seksyen U16, Shah Alam.

Keadaan tempat penyediaan makanan, tempat menyimpan makanan, dapur memasak serta tempat membasuh pinggan mangkuk sangat kotor.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, ketika pemeriksaan, premis makanan itu sedang beroperasi.

“Semasa pemeriksaan, kita dapati keadaan premis tidak terurus khususnya bahagian dapur.

“Terdapat juga makanan yang disediakan (berada dalam kuali di lantai dapur) untuk dibungkus kepada pelanggan yang membuat tempahan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

LAUK ditempah pelanggan di dalam kuali yang terletak di lantai dapur. FOTO ihsanMBSA
LAUK ditempah pelanggan di dalam kuali yang terletak di lantai dapur. FOTO ihsanMBSA

Shahrin berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis makanan masih lagi mengabaikan tahap kebersihan di premis masing-masing.

“Khususnya daripada aspek penyediaan makanan dan penyimpanan makanan, penggunaan peralatan yang kurang bersih, kebersihan tandas yang kurang memuaskan, pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid) dan sebagainya.

“Dalam operasi ini, dua premis diarahkan tutup kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan di bawah seksyen 62(1)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MBSA) 2007 (Premis tidak sanitasi), ” katanya.

Katanya, menurut rekod, sejak awal tahun ini, 18 premis diarahkan tutup mengikut peruntukan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Undang-undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MBSA 2007.

Sementara itu, sepanjang tahun lalu bermula Januari sehingga November, 54 premis makanan diarahkan tutup.

“Jumlah premis yang diperiksa adalah 778 premis, daripada jumlah itu 54 premis diarahkan tutup dan 573 premis dikenakan kompaun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 10:44 AM