Abdul Rahemang Taiming

POLIS menahan seorang lelaki pagi ini selepas tindakannya mencuri kipas dinding di sebuah kediaman di Taman Megah Jaya, Tawau, Sabah dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Suspek dirakam melakukan perbuatan itu pada jam 2 petang semalam sebelum video jenayahnya itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek ditangkap di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Menurutnya, suspek warga tempatan berumur 29 tahun itu ditahan kurang 24 jam susulan laporan polis yang dibuat pemilik rumah pada hari kejadian.

TANGKAP layar perbuatan suspek mencuri kipas dinding di sebuah rumah. FOTO IHSAN PEMBACA
TANGKAP layar perbuatan suspek mencuri kipas dinding di sebuah rumah. FOTO IHSAN PEMBACA

"Polis turut menemui semula kipas dinding jenama Milux yang dicuri selain beberapa peralatan disyaki digunakan suspek ketika melakukan jenayah pecah rumah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Menerusi rakaman itu, suspek dilihat memanjat tembok pagar kediaman terbabit sebelum mengambil kipas yang dipasang pada dinding di luar rumah berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian penghuni tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 5:12 PM