MUHAMMAD Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat. FOTO Zain Ahmed
MUHAMMAD Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat. FOTO Zain Ahmed
Muhaamad Hafis Nawawi


AGENSI umrah Albayt Travel (M) Sdn Bhd akan menggunakan saluran undang-undang bagi membersihkan nama syarikat yang terjejas teruk akibat tindakan ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat berpenampilan wanita di Makkah.

Jurucakapnya berkata, pihaknya tidak akan lepas tangan atas apa yang dilakukan Sajat dan rakan-rakannya malah laporan polis juga sudah dibuat agensi berhubung perkara terbabit.

Menurutnya, peguam syarikat akan mengadakan pertemuan dengan Sajat sebaik dia pulang untuk mendapatkan keterangan daripadanya sebelum tindakan seterusnya akan diambil.

“Perbuatannya itu menjejaskan nama baik syarikat kerana kami sudah beri nasihat serta arahan namun dia tetap tidak mahu ikut.

“Syarikat kami menyediakan perkhidmatan dan bukan ingin mengaut keuntungan semata-mata kerana sesiapa sahaja boleh menunaikan umrah asalkan Islam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, apabila tiba di sana, mereka buat hal sendiri dan hanya menggunakan nama syarikat untuk ke sana.

“Tindakan melantik peguam ini sebagai pengajaran dan tanda kami benci dan tidak menyokong perbuatan tidak senonoh itu.

“Selain itu, sekiranya sampai ke tanah air nanti, kita juga akan menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, peguamnya juga sedang meneliti dan menyemak komen daripada netizen yang berunsur hasutan serta fitnah.

“Kami sedang teliti kerana komen netizen menjejaskan nama baik syarikat dan jika ada unsur fitnah, tindakan saman akan diambil sebagai pengajaran.

“Mudah-mudahan kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan nama baik syarikat dapat dibersihkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 2:04 PM