GAMBAR hiasan. FOTO arkin NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkin NSTP
Omar Ahmad

KERAJAAN negeri Johor memperuntukkan RM6 juta bagi melaksanakan 16 program utama sepanjang 2020 yang bakal memberi manfaat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Pengerusi Jawarankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Sains dan Teknologi, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, selain itu, 94 program mini meliputi inisiatif berbentuk bantuan dan latihan keusahawanan juga akan dilaksanakan.

Katanya PKS Johor merangkumi 10.8 peratus daripada jumlah keseluruhan PKS dalam negara.

“Kerajaan Negeri Johor dan agensi di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) serta Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB ) terus komited untuk memudahcara dan membantu usahawan PKS secara langsung dan tidak langsung dalam memacu perkembangan PKS negara terutama di negeri ini.

“Untuk makluman PUJB juga dilantik sebagai wakil kerajaan Negeri di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan PKS Negeri dan Koridor Malaysia.

“Saya percaya, usahawan tempatan boleh mengambil peluang ini dalam meningkatkan aspek nilai kebolehan dan kemahiran dalam skop keusahawanan,“ katanya di Johor Bahru, semalam.

Menurutnya usahawan juga perlu memainkan peranan dalam memastikan perniagaan diceburi mempunyai tahap kemampanan.

Katanya mereka juga perlu melalui pembentukan pelan tindakan pembangunan perniagaan dan visi serta misi jelas.

“Keusahawanan itu bukan hanya pada jualan dan keuntungan malah ia perlu dititikberatkan aspek kelebihan produk yang dihasilkan, pengurusan, pemasaran, inventori, penginovasian, teknologi dan pendigitalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 12:16 PM