ASMAWATI AHMAD.
ASMAWATI AHMAD.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 12 pegawai kanannya berkuat kuasa pada 4 Mac 2020.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass dinaikkan pangkat sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

“Selain itu, turut dinaikkan pangkat ialah Timbalan Pengarah 1 Jabatan Logistik dan Teknologi, Datuk Sahabudin Abdul Manan dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

“Setiausaha Polis Malaysia, Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Mazli Mazlan pula ditukarkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Asmawati berkata, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan, Jabatan Pengurusan, Datuk Shukri Abdullah pula dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah 1 Jabatan Logistik dan Teknologi dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).

“Ketua Perhubungan Antarabangsa, Urusetia KPN, Datuk Goh Boon Keng dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangka DCP.

“Penolong Pengarah Pengurusan Urusetia Jabatan Pengurusan, Asisten Komisioner Ahmad Mazlan Yahya dinaikkan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner Pentadbiran, Jabatan Pengurusan,” katanya.

Menurutnya, Penolong Pengarah Pengurusan Jabatan Pengurusan, Asisten Komisioner Dr Tan Poh Pow dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan, Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan.

“Menggantikan tempat beliau ialah Asisten Komisioner Aminuddin Dahlan dari Bahagian Perkhidmatan Jabatan Pengurusan. Selain itu Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali akan bertukar ke Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor.

“Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor, Asisten Komisioner Mohd Shukri Ismail akan menjawat jawatan Penolong Pengarah Pengurusan Urusetia Jabatan Pengurusan,”katanya.

Katanya, Ketua Polis Daerah Muallim, Perak Superintendan Kamarul Azran Wan Yusof dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Sepang dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

“Pegawai Turus Cawangan Siasatan/Perundangan/Kajian Kes Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Superintendan Che Mohd Azemin Che Lah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.

“Semua pertukaran dan kenaikan pangkat berkuatkasa 4 Mac ini,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 8:32 PM