AZUAR (berdiri) mengajar murid tahun satu dan di kelas pemulihan SK Pos Brooke. FOTO Ramli Ibrahim.
AZUAR (berdiri) mengajar murid tahun satu dan di kelas pemulihan SK Pos Brooke. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


HASRAT seorang guru Orang Asli untuk mendidik kaumnya sendiri tercapai apabila ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Brooke di Gua Musang.

Malah, Azuar Fandi, 23, berasal dari Temerloh, Pahang yang juga graduan Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis menjadi satu-satunya guru Orang Asli mengajar di sekolah itu.

Azuar mula mengajar pada 4 November 2019 dan tidak mempunyai masalah untuk mendekati murid etnik Temiar di situ, meskipun dia berketurunan Temuan.

“Memang pada mulanya sukar sikit untuk memahami pertuturan murid kerana bahasa Temiar yang tidak seperti Temuan, tetapi lama kelamaan jadi mudah selepas saya mempelajarinya.

“Dalam sebulan sahaja saya sudah boleh faham bahasa Temiar dan boleh juga bercakap dengan mereka,” katanya ketika ditemui di SK Pos Brooke, hari ini.

Menurutnya, dia mengajar murid tahun satu selain mereka ditempatkan di kelas pemulihan untuk belajar menulis, mengira dan membaca.

Katanya, sudah menjadi impiannya untuk bergelar pendidik dan mengajar anak bangsanya sendiri.

Untuk itu katanya, sangat bersyukur ditempatkan di SK Pos Brooke yang terletak di Jalan Gua Musang-Lojing, walaupun jauh daripada kampung halamannya.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga berharap menjadi pembakar semangat buat adiknya untuk berjaya dan mengikut jejak serupa, berbakti kepada kaum sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 11:17 AM