CHE Ahmad meninggal dunia ketika azan Zohor dilaungkan muazzin Masjid Nabawi di Madinah, kelmarin. FOTO ihsan keluarga
CHE Ahmad meninggal dunia ketika azan Zohor dilaungkan muazzin Masjid Nabawi di Madinah, kelmarin. FOTO ihsan keluarga
Syaherah Mustafa


“INI umrah pertama ayah, dia teruja menjadi tetamu Allah selain beberapa kali mengelilingi rumah sebelum berangkat seperti tahu yang dia tidak akan pulang buat selama-lamanya,” kata Nurul Asyikin Che Ahmad, 22.

Nurul Asyikin anak kepada jemaah Malaysia, Che Ahmad Che Wan, 77, yang meninggal dunia ketika azan Zohor dilaungkan muazzin Masjid Nabawi di Madinah, kelmarin.

Menurutnya, bapanya itu mengerjakan umrah kali pertama ditemani kakaknya, Nur Husna Che Ahmad, 40, yang berangkat ke tanah suci, 25 Januari lalu.

“Ayah memang sedikit uzur kerana usia yang sudah lanjut namun kerana hasratnya untuk mengerjakan umrah kami sekeluarga tetap memenuhi impiannya ke sana.

“Namun, kami tidak sangka ayah dijemput Ilahi. Kami mendapat khabar duka itu selepas menerima panggilan telefon daripada kakak selain dimaklumkan mutawif.

“Biarpun sedih, kami sekeluarga reda dengan pemergian yang dicemburui ini. Lagipun sudah menjadi impian semua umat Islam untuk meninggal di tanah suci,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anak bongsu daripada 13 beradik itu berkata, sebelum mengerjakan umrah, bapanya berhasrat untuk berjumpa dengan semua anak-anaknya serta adik-beradik lain sebelum berangkat menunaikan umrah.

“Ramai saudara mara dan penduduk kampung mengucapkan takziah dan berkongsi rasa sedih namun cemburu dengan pemergian arwah di tanah suci.

“Ibu saya, Rohani Jalil, 67, antara yang paling terkesan dengan berita berkenaan. Namun, dia sentiasa mengingatkan dirinya dan anak-anak mengenai betapa istimewanya ayah kerana dapat menghembuskan nafas terakhirnya di Madinah.

“Kami dimaklumkan ayah disolatkan di Masjid Nabawi selepas Subuh dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi.

“Sepatutnya ayah pulang Rabu ini. Kami perlu menerima takdir bahawa ayah tidak kembali lagi,” katanya yang berasal dari Kampung Bemban Kelar, di Pasir Mas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 4:19 PM