ANTARA barang curi yang ditemui semula. FOTO Erika George
ANTARA barang curi yang ditemui semula. FOTO Erika George
Erika George


PENJENAYAH ditahan semalam bersama barangan curi selepas 72 jam memecah masuk sebuah syarikat di Parkcity Commercial Centre di sini.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan selepas anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bintulu melakukan serbuan ke atas bilik sebuah hotel bajet di pusat bandar Bintulu kira-kira 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, lelaki warga asing itu dipercayai suspek utama dalam kes pecah masuk syarikat terbabit pada 11 pagi Rabu lalu.

Katanya, semua barangan pejabat yang dipercayai dilarikan suspek iaitu seunit komputer riba, seunit tablet, empat unit telefon bimbit pelbagai jenama, beg dan jam tangan bernilai RM5,000 turut ditemukan dalam bilik hotel suspek menginap itu.

“Semakan mendapati semua barangan itu adalah milik syarikat terbabit berdasarkan kenyataan dalam laporan polis yang dibuat pemiliknya pada hari kejadian,” katanya.

Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pusat Bintulu sebelum mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk premis yang jika disabit kesalahan berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Pesalah juga berhadapan dengan hukuman denda dan sebat sekiranya kesalahan sama dilakukan buat kali kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 4:05 PM