WALID. FOTO BERNAMA
WALID. FOTO BERNAMA
BERNAMA

DUTA Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata, Baitulmaqdis dan seluruh negara itu merupakan hak milik mutlak rakyat Palestin dan bukan untuk ‘dijual’ kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata Palestin akan terus memperjuangkan impian rakyatnya untuk mewujudkan sebuah negara merdeka bagi menikmati sistem demokrasi dan kebebasan demi keamanan bersama.

Walid berkata demikian selepas mengetuai perhimpunan membantah pelan damai dikenali Perjanjian Abad Ini yang diumum Presiden Donald Trump baru-baru ini, di kedutaan negara itu di sini hari ini.

Perhimpunan anjuran kedutaan itu dihadiri kira-kira 50 rakyat Palestin terdiri anggota pergerakan Fatah dan Hamas bagi menyatakan pendirian dan kesatuan mereka dalam isu berkenaan.

Duta Palestin itu berkata perhimpunan tersebut bertujuan menghantar mesej dan sokongan komuniti Palestin di Malaysia kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas, bagi membantah perjanjian tersebut.

“Kami (rakyat Palestin di Malaysia) membantah sekeras-kerasnya perjanjian itu yang hakikatnya adalah perjanjian rejim Zionis Israel dengan menerima sokongan penuh Amerika dan mengabaikan hak rakyat Palestin,” katanya.

Pada Selasa, Trump mengumumkan pelan yang antara lain menyatakan, Baitulmaqdis akan kekal menjadi ibu negara Israel dan Amerika akan mengiktiraf kedaulatan wilayah Israel yang diduduki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 6:20 PM