Shaharom Nizam. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Shaharom Nizam. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah akan melakukan pemantauan secara berterusan dalam pemilihan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Pengarahnya, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, pemantauan itu dilakukan bagi memastikan tiada kegiatan rasuah dalam kalangan ahli parti bagi meraih undi.

Beliau menegaskan, SPRM negeri bersedia melakukan siasatan sekiranya terdapat aduan salah laku berkaitan rasuah terutama membabitkan aduan membeli undi dalam pemilihan parti berkenaan bulan depan.

“Kita bersedia 24 jam untuk menerima apa-apa maklumat berkaitan rasuah dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika dapati ada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam pemilihan peringkat bahagian dan cawangan parti berkenaan.

“Sehingga kini SPRM Kedah belum menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pihak dalam BERSATU,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan boling persahabatan SPRM bersama media di Alor Setar, semalam.

Mengulas lanjut, Shaharom Nizam berkata, SPRM mengalu-alukan kerjasama semua parti politik sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan kerjasama yang baik akan diberikan kepada pihak yang berbuat demikian.

Ahad lalu, Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Kedah, Datuk A. Aziz Mohamad, mengumumkan lima calon Ketua Bahagian BERSATU di Kedah menang tanpa bertanding termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun.

Katanya, enam bahagian BERSATU Kedah bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu manakala bahagian Merbok pula bakal memperlihat pertandingan lima penjuru.

Dalam perkembangan lain, Shaharom Nizam berkata, kesedaran orang ramai di negeri ini mengenai salah laku rasuah semakin baik apabila berlaku peningkatan aduan sejak 2018.

“Pada bulan ini saja, SPRM Kedah menerima 47 aduan dan membuka 22 kertas siasatan serta sudah menahan 14 individu termasuk penjawat awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 11:17 AM