Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor, Suzaini Sulaiman (kanan) bersama anggota membantu pemilik kereta yang kehabisan petrol di Taman Perindustrian Alam Jaya.
Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor, Suzaini Sulaiman (kanan) bersama anggota membantu pemilik kereta yang kehabisan petrol di Taman Perindustrian Alam Jaya.
Amirul Aiman Hamsuddin

RASA simpati tinggi ditunjukkan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor selepas membantu seorang wanita bersama dua anak kecil yang ‘tersadai’ di dalam kereta.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi, kereta dipandu wanita terbabit kehabisan minyak ketika melalui simpang empat lampu isyarat berhampiran Taman Perindustrian Alam Jaya, Puncak Alam, Selangor.

Anggota APM membabitkan pegawai pasukan APM Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman dan tiga anggota yang dalam perjalanan dari Pusat Kawalan APM daerah itu ke sebuah taman perumahan di Puncak Alam.

Suzaini berkata, pihaknya yang melalui jalan itu mendapati sebuah kereta tersadai di laluan berkenaan hingga menyebabkan kesesakan trafik.

"Terdapat seorang wanita bersama dua anaknya berada dalam kereta itu.

"Kereta itu tidak boleh ditolak ke bahu jalan berikutan ia menggunakan transmisi automatik," katanya.

Menurut Suzaini, pihaknya kemudian membawa wanita itu bersama anaknya menaiki kenderaan APM bagi membeli petrol di stesen minyak berdekatan.

Tambahnya, dua anggota APM menunggu di lokasi bagi mengawal lalu lintas.

“Kami kemudian membantu mengisi petrol di dalam kereta itu sebelum enjin kenderaan itu berjaya dihidupkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 4:54 PM