PERANGKAP berkenaan. FOTO Ramli Ibrahim
PERANGKAP berkenaan. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PENEROKA FELDA Perasu, dekat Gua Musang menarik nafas lega apabila perangkap dipasang untuk menangkap beruang yang berkeliaran di kampung itu.

Ia dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman negara (PERHILITAN) dalam kawasan ladang sawit, jam 6.15 petang, semalam.

Peneroka, Mohd Yazid Yaacob, 66, berkata, peneroka tidak lagi bimbang untuk keluar rumah waktu malam dan ke ladang sawit, pada siang hari.

Dia mengakui kebanyakan penduduk berkurung di rumah sejak haiwan itu ditemui berkeliaran di kawasan perumahan FELDA itu, sejak dua hari lalu.

Malah, katanya, dia pernah terserempak dengan seekor beruang yang berkeliaran di tanah rancangan itu, malam kelmarin.

“Rasa gemuruh juga melihat haiwan itu walaupun menunggang motosikal untuk pulang ke rumah selepas pulang dari masjid,” katanya.

Hadir sama membantu pemasangan perangkap itu, Pengurus FELDA Perasu, Mat Nazri Mat Nayi.

Seorang lagi peneroka, Mohd Zain Hassan, 70, pula berkata, pemasangan perangkap itu ditunggu-tunggu kerana langkah berkesan untuk menangkap beruang.

Katanya, lokasi pemasangan perangkap itu juga adalah tempat haiwan itu beberapa kali dilihat berkeliaran dua hari lalu.

“Kami yang sudah dua hari takut ke ladang sawit, kini kembali bekerja di ladang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kelantan, Ady Armanty Haniff Mohamed Hanif ketika dihubungi berkata, pihaknya meminta kerjasama peneroka bagi memantau perangkap itu.

Beliau juga menasihatkan peneroka supaya tidak membuang sisa makanan di sekitar rumah bagi mengelak ia menarik kehadiran beruang.

“Tambahan pula, sekarang bukan musim buah-buahan... jadi sukar bagi haiwan itu mencari makanan,” katanya.

Selain itu katanya, penduduk yang mengusahakan penternakan lebah kelulut juga dinasihatkan membina pagar lebih kukuh bagi mengelak ia diceroboh beruang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 9:20 AM