ENAM rumah di Kampung Tekek di Pulau Tioman terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
ENAM rumah di Kampung Tekek di Pulau Tioman terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
Shahrinnahar Latib


DUA cedera dalam kebakaran enam rumah di Kampung Tekek di Pulau Tioman, semalam.

Mangsa yang dipercayai penghuni rumah terbabit dihantar ke Klinik Kesihatan Tekek untuk menerima rawatan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 3.20 petang.

“Sepasukan anggota terdiri dari Perkhidmatan Bomba Dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Pulau Tioman dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tekek bersama dua jentera ke lokasi untuk operasi pemadaman.

“Dalam kebakaran itu, empat rumah musnah sepenuhnya manakala dua rosak 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi turut dibantu pekerja Alam Flora Sdn Bhd, polis dan penduduk kampung.

Katanya, operasi menggunakan dua aliran hos pam jentera AFRS itu berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 5 petang.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 2:21 PM