Ramli Ibrahim


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyiasat dakwaan lima beruang berkeliaran di Rancangan Tanah Felda Perasu, Gua Musang.

Pengarah Perhilitan Kelantan Ady Armanty Haniff Mohamed Hanif berkata, mengarahkan kakitangannya untuk melakukan siasatan di lokasi.

Menurutnya, sebarang dakwaan yang membabitkan keselamatan penduduk diberi perhatian serius.

“Jika betul ada (beruang) kita akan mengambil langkah keselamatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima aduan sama empat bulan lalu, namun perangkap yang dipasang dalam tempoh sebulan gagal menemui apa-apa.

“Kali ini kita akan lihat keperluan perangkap untuk dipasang di kawasan berkenaan,” katanya yang mengakui beruang biasanya memasuki kawasan penempatan ketika musim buah-buahan.

Katanya, selain tanah rancangan itu, aduan turut diterima daripada penduduk kampung lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 7:15 PM