Hassan Omar


CUTI persekolahan selama lima hari sempena Tahun Baru Cina sejak Khamis lalu memberi peluang kepada orang ramai membanjiri pantai peranginan di Melaka barat di sekitar Alor Gajah.

Tinjauan di pantai peranginan Tanjung Bidara, Padang Kemunting, Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru serta Kuala Linggi, mendapati orang ramai terutama ibu bapa dan anak membanjiri pantai berkenaan sejak petang semalam.

Cuti panjang itu bukan sahaja memberi peluang kepada kaum Tionghua meraikan Tahun Baru Cina, malah menyediakan ruang untuk ibu bapa kaum lain membawa anak masing-masing berkelah di pantai berkenaan.

Kunjungan pelancong tempatan dan asing memberi peluang kepada pengusaha chalet dan inap desa sepanjang pantai berkenaan untuk menikmati sewaan premis masing-masing yang disifatkan mereka sebagai ‘tidak menang tangan.’

Pengunjung dari Puchong, Selangor, Kamarudin Salleh, 53, berkata dia tertarik untuk menyewa chalet di pantai Padang Kemunting selepas melayari laman sesawang yang memaparkan keindahan pemandangan dan bilik penginapan.

“Alhamdulillah, ini kali kedua saya datang bersantai di sini selepas dua tahun lalu dan saya amat tertarik dengan keindahan pemandangan desa di sini,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan hari ini.

Rosnah Shamsuddin, 43, berkata dia tidak pernah berkunjung ke pantai Pengkalan Balak sebelum ini dan peluang berbuat demikian ketika mengikuti anak saudaranya ke pantai itu semalam digunakan untuk berenang dan menyelam sepuas hati.

“Air laut di sini bersih dan saya dapat mandi-manda dengan puas. Saya akan datang ke sini lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pengusaha bot pisang, Amri Dollah, 27, berkata sejak petang Khamis lalu, botnya dipenuhi pengunjung pantai yang gemar aktiviti lasak dan tidak takut akan cabaran bergerak di atas bot berkenaan.

“Saya mengenakan caj RM10 setiap penumpang dengan kadar maksimum seramai 10 orang setiap pusingan bot selama kira-kira 15 minit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 2:48 PM