RUMPAI laut yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
RUMPAI laut yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
Muhaamad Hafis Nawawi


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas rumpai laut diimport dari China ketika pemeriksaan di gudang penyimpanan sementara Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan mendapati 30 kotak mengandungi rumpai laut seberat 439 kilogram (kg) dengan nilai RM20,342.18.

Menurutnya, dagangan itu didapati tidak mempunyai dokumen yang sah seperti Permit Import yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS.

“Ketika pemeriksaan, kesemua rumpai laut itu dihancurkan dan dimasukkan ke dalam kotak sebelum diimport ke dalam negara bagi menghasilkan produk makanan yang berkaitan sebelum dijual.

“Tindakan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import sah daripada MAQIS menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011. Ia boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 11(3) Akta sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, MAQIS dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai hasilan pertanian dengan berat kira-kira 180 kg yang dibawa masuk dari Singapura di laluan masuk penumpang, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, ia hasil pemeriksaan mesin imbasan JKDM terhadap bagasi dan pemeriksaan fizikal ke atas kenderaan yang masuk.

Beliau berkata, pelbagai hasilan pertanian seperti buah mangga, buah limau, daging dalam tin dan pelbagai lagi dirampas sepanjang tempoh operasi dijalankan.

“Kebanyakan hasilan pertanian itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri dan diberikan kepada saudara-mara serta kenalan sebagai buah tangan” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 9:46 AM