RAKAMAN kamera litar tertutup menunjukkan suspek masuk ke dalam premis dengan menyamar sebagai kontraktor TNB sebelum mencuri barangan berharga dan wang tunai mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN kamera litar tertutup menunjukkan suspek masuk ke dalam premis dengan menyamar sebagai kontraktor TNB sebelum mencuri barangan berharga dan wang tunai mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


MENYAMAR sebagai kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum masuk ke dalam premis dan melarikan barang berharga dan wang tunai.

Itu taktik licik digunakan seorang lelaki untuk mencuri di dalam premis di sekitar daerah Hulu Langat.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, setakat ini pihaknya menerima empat laporan berhubung kes curi yang menggunakan modus operandi sama.

“Modus operandi suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an atau 40-an itu adalah menyasarkan premis yang dirasakan selamat untuk memperdayakan mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai kontraktor TNB dan meminta kebenaran memeriksa meter di premis berkenaan.

“Suspek akan meminta mangsa untuk menutup meter elektrik dan mengarahkan semua staf atau pemilik premis keluar supaya mereka kononnya tidak tercedera ketika proses pemeriksaan dilakukan.

“Sebaik premis itu dikosongkan, suspek akan menggeledah premis dan mencuri barang berharga dan wang tunai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:15 PM