KAKITANGAN penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang cedera akibat dibelasah peniaga tidak berlesen dalam operasi sita peralatan perniagaan tanpa kebenaran.
KAKITANGAN penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang cedera akibat dibelasah peniaga tidak berlesen dalam operasi sita peralatan perniagaan tanpa kebenaran.
Amir Abd Hamid


SEORANG kakitangan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cedera dipukul peniaga minuman tidak berlesen di Taman Tasik Titiwangsa, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suspek berusia 27 tahun itu sebelum ini sudah lebih tiga kali diberikan teguran dan amaran secara lisan oleh pihak berkuasa untuk menutup perniagaannya kerana menjalankan aktiviti itu tanpa kebenaran.

Sumber berkata, ketika penguatkuasaan sita dijalankan, suspek berusia 27 tahun yang berniaga bersama isterinya berang lalu memukul mangsa.

“Peniaga air yang dikendalikan oleh sepasang suami isteri itu menggunakan kenderaan Toyota Vios. Peniaga ini menjalankan perniagaan tanpa kebenaran dan menyebabkan kekotoran persekitaran.

“Namun semasa tindakan penguatkuasaan dilakukan, si suami menghalang tugas seorang anggota penguatkuasa dengan menumbuk dua kali di pipi kanan, menarik pakaian seragam dan menolak sehingga jatuh.

“Mangsa berkenaan mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan dan lutut sebelah kiri. Peniaga itu didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan UUK 3, Undang-Undang Kecil Taman (W.P.K.L) 2012,” katanya.

Mengulas lanjut, sumber berkata sabit kesalahan peniaga berkenaan boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, barang peralatan disita sudah dihantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras untuk disimpan dan didokumentasikan.

“Selepas selesai proses dokumentasi barangan yang disita, satu laporan polis dibuat jam 7 petang 20 Januari 2020 di Balai Polis Jalan Tun Razak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi Harian Metro hari ini berkata, kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 186/323 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 5:56 PM