Perkhidmatan bas hidrogen mula beroperasi di Kuching hari ini. Foto Mohd Radzi Bujang
Perkhidmatan bas hidrogen mula beroperasi di Kuching hari ini. Foto Mohd Radzi Bujang
Mohd Roji Kawi

PENDUDUK Kuching tidak melepaskan peluang untuk menggunakan perkhidmatan bas hidrogen yang disediakan secara percuma mulai hari ini.

Tinjauan mendapati ramai yang ingin merasai pengalaman menaiki bas berkenaan yang menyediakan perkhidmatan di dua laluan iaitu Lingkaran Warisan Pusat Bandar dan Lingkaran Damai.

Warga Kuching, Suratman Taha, 43, berkata, dia menaiki bas itu ke Damai Sentral di Santubong.

“Saya teruja dapat menaiki bas ini. Memang ada perbezaan dengan bas biasa kerana ia lebih senyap. Pada masa sama, kemudahan Internet tanpa wayar (WiFi) juga disediakan kepada penumpang,” katanya.

Suratman berharap perkhidmatan bas berkenaan disediakan untuk laluan di pinggir bandar raya antaranya ke Batu Kawa atau Padawan.

Perkhidmatan bas hidrogen itu beroperasi mulai 7 pagi hingga 7 malam setiap hari dengan tiga bas disediakan ketika ini.

Bagi laluan Lingkaran Warisan Pusat Bandar sejauh 14 kilometer, bas memulakan perjalanan dari Tebingan Kuching seterusnya ke Central Timur, Jalan Ban Hock, Hotel Riverside Majestic, Kubah Ria, kawasan Kampung Melayu hingga Kampung Bandarshah.

Untuk laluan Lingkaran Damai pula, bas hidrogen itu akan melakukan perjalanan sejauh 67 kilometer bermula dari Hotel Riverside Majestic.

Bas itu kemudiannya melalui Muzium Sarawak, Hentian Bas Satok 1, Hentian Bas Satok 2, Hentian Bas Petra Jaya 1, Hentian Bas Petra Jaya 2 hingga Damai Central sebelum kembali ke Hotel Riverside Majestic.

Bas hidrogen percuma di Kuching adalah usahasama Kementerian Pengangkutan dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Kenderaan awam itu dilengkapi aplikasi H2Sarawak dan WiFi berkelajuan tinggi serta e-portal terkini yang mengandungi platform e-shopping serta hiburan.

Dengan aplikasi H2Sarawak, lokasi bas boleh diperoleh menggunakan telefon pintar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 5:11 PM