ZURAIDA melancarkan Laporan Pencapaian KPKT 2019 semasa majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam KPKT hari ini. FOTO BERNAMA
ZURAIDA melancarkan Laporan Pencapaian KPKT 2019 semasa majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam KPKT hari ini. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman


PEMOHON bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang baharu perlu mengikuti kursus serta program induksi sebelum mendapat kelulusan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menetap di rumah berkenaan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, buat masa ini pihaknya masih dalam proses merangka kaedah berkenaan dan berkemungkinan ia akan diperkenalkan pada Jun ini.

Katanya, menerusi kaedah itu, ia secara tidak langsung membantu pihaknya membuat saringan yang lebih teliti kepada pemohon yang benar layak sebelum meluluskan permohonan mereka untuk mendiami rumah itu.

“Kita akan buat satu kaedah di mana pemohon PPR yang berpotensi akan ditapis sebaiknya. Mereka harus mengikut garis panduan ditetapkan. Selain itu kita juga kita akan memperkenalkan sistem merit kepada penghuni yang melanggar peraturan.

“Penghuni yang didapati melanggar peraturan, kita berhak mengusir mereka dan menggantikan dengan pemohon lain. Dengan adanya kaedah yang dinyatakan, kita dapat memastikan harta benda di PPR itu terjaga, tiada lagi keadaan yang kotor serta lambakan warga asing atau sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPKT, di Putrajaya, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Zuraida turut melancarkan Laporan Pencapaian KPKT 2019 yang mengandungi semua inisiatif KPKT yang sudah berjaya dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Antara yang disenaraikan dalam buku berkenaan ialah kejayaan KPKT memperkenalkan empat dasar bagi tahun lalu iaitu Dasar Perumahan Negara 2018-2025, Dasar Perumahan Mampu Milik Negara, Dasar Komuniti Negara 2019-2030 dan Dasar Kebersihan Negara 2030.

Zuraida dalam ucapannya turut menyatakan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan perasaan bangga dengan KPKT dan mengucapkan terima kasih kerana kementerian itu dilihat bergerak atas landasan serta menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Dalam pertemuan saya dengan Tun M (Tun Mahathir), beliau ucapkan terima kasih atas pencapaian yang dilaksanakan pada tahun lalu. Dalam semua empat bahagian utama bawah KPKT, janji satu juta rumah dalam tempoh 10 tahun itu dilihat bergerak atas landasannya. Maknanya sasaran itu dapat dicapai dan dalam masa 10 tahun kita dapat sempurnakan atau mungkin lebih awal dari itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 1:55 PM