PEMANDU ekspres selesai menjalani ujian air kencing di Melaka Sentral. FOTO Nazri Abu Bakar.
PEMANDU ekspres selesai menjalani ujian air kencing di Melaka Sentral. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar


SERAMAI 132 pemandu bas ekspres negatif ujian air kencing sepanjang dua hari pemeriksaan terhadap mereka di Melaka Sentral, setakat ini.

Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka, Noor Hery Hazani Harun berkata, ujian wajib kepada pemandu pertama dan kedua itu antara pendekatan diambil bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah sepanjang pemanduan.

Beliau berkata, ADDK mewujudkan kaunter khas di pintu masuk bas ekspres bagi memastikan mereka terlebih dahulu menjalani ujian saringan berkenaan sebelum dibenarkan memandu kenderaan masing-masing.

“Kerjasama bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka menerusi Ops Tahun Baru Cina sehingga 2 Februari itu dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang sambutan perayaan itu.

“Setakat hari ini mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah dan kami amat berpuas hati dengan perkembangan terbabit," katanya.

Beliau berkata, sokongan syarikat dan pemilik bas berkenaan amat memuaskan berikutan memberi kerjasama bagi memastikan pekerja mereka bebas pengaruh dadah.

Menurutnya, enam kakitangan AADK ditugaskan bermula 7 pagi sehingga 11 malam setiap hari bagi menjalankan pemeriksaan dan ujian saringan berkenaan.

“Slip ujian air kencing terbabit hanya sah untuk tempoh lima hari sahaja dan jika AADK tidak berpuas hati, kami boleh meminta ujian semula dilakukan dalam tempoh terbabit.

“Kami menjangkakan jumlah pemandu terus meningkat bagi menjalani ujian ini sehingga 2 Februari depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 4:06 PM