200 anggota pelbagai pangkat melakukan persembahan sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-87 di Padang Bandaran Tawau. FOTO BERNAMA
200 anggota pelbagai pangkat melakukan persembahan sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-87 di Padang Bandaran Tawau. FOTO BERNAMA
Abdul Rahemang Taiming

SABAH khususnya Tawau dipilih sebagai lokasi utama destinasi pertama Konvoi Kumpulan Tempur Tentera Darat sempena sambutan Hari Tentera Darat (HTD) ke-87 yang diraikan 1 Mac setiap tahun.

Membawakan tema “Tentera Darat Bersama Rakyat Sedia Sebilang Masa” pelbagai acara menarik diatur dengan pembabitan pasukan keselamatan itu bersama rakyat serta pemimpin tertinggi negeri bermula hari ini sehingga acara kemuncak (28 Feb hingga 1 Mac) depan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, Konvoi Kumpulan Tempur TDM adalah acara pertama dilaksanakan bertujuan mempamerkan ketumbukan TDM di Sabah melalui jelajah “Battle Group” ke hampir semua bandar utama di negeri ini.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk mengukuhkan komitmen TDM terhadap pertahanan dan kepentingan keselamatan negeri Sabah serta meningkatkan interaksi antara rakyat dan warga tentera darat.

“Sepanjang konvoi ini nanti sebanyak 29 buah kenderaan tempur logistik membabitkan aset seperti kenderaan perisai GEMPITA; Lipan Bara; Kenderaan Tempur Pembawa Senjata (KPS); Kenderaan Pembawa Meriam (KPM) berserta Meriam 105 milimeter; Command Rover dan motosikal lasak selain beberapa kenderaan bantuan logistik termasuk trak tiga tan serta ambulans.

“Konvoi ini juga akan menjelajah kebanyakan bandar-bandar utama dan akan mengadakan pelbagai acara menarik ketika persinggahan di setiap daerah berkenaan seperti pameran aset ketenteraan, pengambilan perajurit muda, dan pertunjukan pancaragam,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Konvoi Kumpulan Tempur Tentera Darat sempena sambutan HTD di Tawau hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima TD, Leftenan Jeneral Dato Hasagaya Abdullah dan Panglima Medan Timur TD, Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.

Sementara itu, aksi pertunjukan 10 penerjun dari Markas Grup Gerak Khas (TDM) antara yang mencuri tumpuan pengunjung yang mula membanjiri padang Padang Perbandaran Tawau seawal jam 7 pagi.

Kira-kira 10,000 orang yang hadir menyaksikan acara itu memberi sorakan dan tepukan gemuruh setiap kali penerjun masing-masing berjaya membuat pendaratan di tengah padang selepas melakukan terjunan pada ketinggian 1,800 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 8:31 PM