Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Tawar pekerjaan dengan gaji lumayan pada gadis bawah umur sebelum merogol mereka.

Itu helah lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Datuk' yang menggunakan aplikasi penstriman video untuk mencari mangsa.

Bagaimanapun, helah lelaki itu terbongkar selepas dia ditahan polis di rumahnya di Kajang kira-kira 2 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan daripada pelajar sekolah berusia 14 tahun yang memaklumkan dirogol lelaki terbabit di rumah kedai di Bandar Baru Bangi, kelmarin.

"Mangsa memaklumkan dia mengenali suspek pada awal Januari lalu melalui aplikasi 'Bigo Live' dan memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk.’

“Sejak itu, mangsa sering berhubung dengan suspek melalui aplikasi itu dan lelaki berkenaan menawarkan peluang pekerjaan sebagai pembantu peribadi," katanya dalam kenyataan di Bangi, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, bertindak atas maklumat siasatan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan suspek di rumahnya di Kajang kira-kira 2 petang tadi.

"Kami percaya suspek terbabit dengan beberapa kes rogol lain dengan menggunakan modus operandi sama iaitu memerangkap mangsa melalui tawaran kerja sebagai pembantu sambilan dengan gaji lumayan.

"Setakat ini, kami turut menerima satu lagi laporan berkaitan kes rogol membabitkan modus operandi sama pada 13 Januari lalu.

"Kami menggesa mana-mana pihak yang turut menjadi mangsa rogol suspek supaya tampil dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu atau mana-mana kejadian yang membabitkan modus operandi sama diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Noorlaila Kairudin di talian 0192299906 atau hubungi balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 11:31 PM