APLIKASI Touch ‘n Go eWallet yang digunakan untuk tuntutan RM30 di bawah program e-Tunai Rakyat. FOTO Asyraf Hamzah
APLIKASI Touch ‘n Go eWallet yang digunakan untuk tuntutan RM30 di bawah program e-Tunai Rakyat. FOTO Asyraf Hamzah
Sri Ayu Kartika Amri


TOUCH ‘n Go eWallet menerima jumlah trafik yang tinggi berikutan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai susulan program e-Tunai Rakyat yang bermula pada jam 8 pagi, hari ini.

Pengendalinya TNG Digital Sdn Bhd berkata, pihaknya akan mempertingkatkan kapasiti sistem mereka bagi menangani jumlah trafik yang tinggi untuk menebus RM30 ditawarkan menerusi program itu.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi (semalam) menunjukkan kadar kejayaan yang lebih tinggi dalam bilangan pengguna yang menebus terutama selepas langkah penambahbaikan dilakukan.

“Kami sangat menghargai kesabaran anda dan pasukan kami sedang bekerja keras untuk memastikan aplikasi Touch ‘n Go eWallet kembali kepada fasa kecekapan optimum secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut berterima kasih di atas kepercayaan rakyat Malaysia untuk menggunakan khidmat mereka dalam menebus e-Tunai Rakyat.

Kerajaan memperuntukkan RM450 juta di bawah pelaksanaan program e-Tunai Rakyat.

Setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima wang e-tunai terbabit.

Selain Touch ‘n Go eWallet, rakyat Malaysia yang layak boleh menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada dua lagi e-dompet terpilih, GrabPay dan Boost.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 6:00 PM