KESAN kerosakan pagar akibat dilanggar seekor gajah malam tadi di padang Boling Padang yang terletak bersebelahan dengan Stadium Bandar Penawar, Kota Tinggi. FOTO Ihsan Perhilitan Johor
KESAN kerosakan pagar akibat dilanggar seekor gajah malam tadi di padang Boling Padang yang terletak bersebelahan dengan Stadium Bandar Penawar, Kota Tinggi. FOTO Ihsan Perhilitan Johor
Mohamed Farid Noh


SEEKOR gajah jantan sesat didapati berkeliaran di kawasan Bandar Penawar, dekat sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban, berkata gajah jantan berkenaan dipercayai dari Hutan Simpan Panti yang terletak kira-kira 51 kilometer dari kawasan Bandar Penawar.

“Siasatan dibuat PERHILITAN Johor mengesahkan kejadian seekor gajah jantan berkeliaran malam tadi di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Penawar dan Stadium Bandar Penawar.

“Tinjauan di lokasi berhampiran mendapati terdapat kesan kerosakan pagar akibat dilanggar gajah di Padang Boling Padang yang terletak bersebelahan dengan stadium.

“Tinjauan di lokasi panas lain juga mendapati kesan gajah dijumpai di kawasan jalan menuju ke Tanah Perkuburan Bandar Penawar.

“Dipercayai gajah ini sedang menuju ke arah Hutan Simpan Sungai Lebam atau Empangan Sungai Lebam sebelum tersesat memasuki Bandar Penawar, ” katanya ketika dihubungi.

Video seekor gajah yang sedang berjalan di atas jalan raya di Bandar Penawar tular di media sosial sejak pagi tadi dan menarik minat pengguna media sosial berikutan kawasan Bandar Penawar terletak agak jauh dari hutan berhampiran.

Sementara itu, Salman berkata, kejadian sama berlaku dua malam lalu selepas PERHILITAN Johor menerima aduan gajah berkeliaran dekat Sungai Chemaran, kira-kira enam kilometer dari Bandar Penawar.

Namun katanya, tiada gajah ditemui ketika kawalan dibuat.

“Ini bukan kali pertama gajah masuk ke kawasan Bandar Penawar berlaku.

“Mengikut rekod terdapat aduan empat ekor gajah tersesat masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Bandar Penawar pada tahun 2017.

“Kehadiran kumpulan gajah juga pernah dikesan berada di Kampung Nelayan Punggai dan Ladang Santi dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan akan dijalankan PERHILITAN Johor bagi menghalau balik gajah yang tersesat itu ke arah Hutan Simpan Panti.

#kw gajah, perhilitan, kota tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 3:35 PM