MAIDU (empat dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan jus dadah dirampas daripada suspek pada sidang media di IPK Pulau Pinang, hari ini. FOTO Mikail Ong
MAIDU (empat dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan jus dadah dirampas daripada suspek pada sidang media di IPK Pulau Pinang, hari ini. FOTO Mikail Ong
Zuhainy Zulkiffli


KEGIATAN suami isteri menjual jus dan air minuman berperisa dicampurkan dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) tumpas apabila mereka ditahan dalam serbuan pada 9 dan 10 Januari lalu.

Pasangan terbabit antara tujuh individu dicekup dalam dua operasi di Pulau Tikus, Georgetown dan Bukit Tengah, Bukit Mertajam bermula 10.20 malam Khamis hingga 12.15 tengah malam Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Maidu Abu Bakar berkata, semua suspek yang ditahan terdiri empat lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun.

Menurutnya, kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan kereta Perodua Myvi dinaiki pasangan terbabit di Pulau Tikus.

Katanya, pihaknya merampas sejumlah dadah jenis MDMA yang siap dibancuh bersama jus dan air minuman berperisa dalam botol.

“Siasatan awal mendapati pasangan terbabit dalam perjalanan ke pusat hiburan berdekatan bagi menghantar bekalan kepada pelanggan di situ.

“Berikutan penahanan mereka, polis menyerbu sebuah apartmen di Bukit Tengah dan menahan lima individu lain yang menjadikan kediaman itu sebagai tempat menyimpan stok,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis merampas sebanyak 131 peket dadah MDMA dan 27 botol cecair jus serta minuman berperisa dianggarkan bernilai RM434,800.

Katanya, sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan mengedarkannya ke pusat hiburan sekitar Pulau Pinang dengan harga RM350 sebotol.

“Mereka mendapatkan bekalan daripada sindiket lain dan pelanggan boleh menempah menerusi telefon sebelum dihantar kepada mereka.

“Polis turut menyita tiga kereta mewah dan Perodua Myvi keseluruhannya bernilai RM416,000, dua jam tangan bernilai RM29,000, empat beg tangan berjenama (RM16,200) dan wang tunai sebanyak RM1,050,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 5:42 PM