Menteri Besar Perak,Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO Arkib NSTP.
Menteri Besar Perak,Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO Arkib NSTP.
Balqis Jazimah Zahari


MENTERI Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bertegas tidak menyimpan angan-angan untuk mengisi jawatan Menteri Pendidikan.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak meminta orang ramai supaya tidak mempercayai spekulasi mengenai ‘hasratnya’ itu.

“Saya sebenarnya gembira apabila jawatan Menteri Pendidikan itu dipegang secara ‘interim’ oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) kita sendiri, yang diyakini seorang pemimpin yang berkebolehan.

“Tentunya beliau mampu menyelesaikan pelbagai kerumitan dan masalah yang ada di kementerian itu,” katanya ketika melancarkan Jualan Rumah Perakku 1 dan Majlis Pecah Tanah Bit Polis di Raia Perdana, Gopeng hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, sudah tentu dirinya atau mana-mana pemimpin dan Ahli Parlimen sedia ada tidak mampu menandingi keupayaan Tun Dr Mahathir.

“Jadi, saya tidak perlu menyimpan angan-angan dan saya perlu fokus kepada usaha untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian mengulas spekulasi yang timbul selepas Dr Mahathir mengumumkan pemilihan Menteri Pendidikan yang baharu akan dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen BERSATU.

Parti itu kini mempunyai 22 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 2:53 PM