KANAK-KANAK yang ditemui diserahkan kepada keluarga. FOTO ihsan pembaca
KANAK-KANAK yang ditemui diserahkan kepada keluarga. FOTO ihsan pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi


KANAK-kanak perempuan berusia dua tahun yang ditemui orang awam di Taman Megah, Batu 9, Cheras di Kajang sudah diserahkan kepada ibu bapanya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ibu kanak-kanak terbabit berusia 35 tahun menghubungi polis selepas berita penemuan anaknya tular di media sosial hasil bantuan media dan masyarakat.

Menurutnya, ibunya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 9 malam bagi menuntut anaknya dengan membawa segala dokumen rasmi sebagai bukti sokongan.

“Hasil keterangan, kanak-kanak perempuan itu dipercayai keluar sendirian untuk bermain di luar rumah melalui pintu hadapan yang bertutup tetapi tidak berkunci.

“Dia diserahkan semula kepada kedua ibu bapa kandungnya dan dibawa pulang dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak media dan orang ramai kerana membantu menyebarkan berita berkaitan kehilangan kanak-kanak itu hingga berjaya menyerahkan semula kepada keluarganya.

Harian Metro semalam melaporkan kanak-kanak perempuan ditemui ketakutan dan menangis oleh orang awam di Taman Megah, Batu 9, Cheras.

Dalam kejadian 2 petang itu, kanak-kanak berusia 2 tahun terbabit ditemui berhampiran keretanya.

Difahamkan, kanak-kanak itu dilihat berseorangan sebelum dibawa ke Balai Polis Batu 9 untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Siapa ibu bapanya?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 11:09 AM