KETUA Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat. FOTO  MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Siti A’isyah Sukaimi

BADAN Kehakiman akan menulis surat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyemak status siasatan berhubung isu campur tangan terbuka badan berkenaan.

Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat berkata, memandangkan tuntutan saman dilupuskan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini, pihaknya perlu menyemak status itu dengan pihak polis.

“Justeru, kita akan menghantar surat kepada Ketua Polis Negara untuk bertanyakan mengenai status siasatan. Baru-baru ini tuntutan saman itu dilupuskan oleh Mahkamah Tinggi.

“Apabila saman berkenaan tertangguh, kita tidak nampak ia sesuai untuk diteruskan melalui semakan dengan pihak polis dan sekarang tuntutan saman itu dilupuskan.

“Jadi ini adalah masa yang sesuai untuk menyemaknya dengan polis berhubung status siasatan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan pembukaan Tahun Undang-Undang 2020 di sini, hari ini.

Pada 14 Februari tahun lalu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer memfailkan afidavit mengandungi 63 halaman untuk menyokong saman pemula difailkan anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo terhadap bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum.

Sangeet memfailkan saman pemula itu bagi memohon pengisytiharan Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman.

Dalam perkembangan lain, Tengku Maimun berkata, pihaknya akan melaksanakan pelbagai penambahbaikan bagi sistem kehakiman negara termasuk permohonan untuk menunda kes (leave application) di Mahkamah Persekutuan didengar oleh seorang hakim sahaja.

Katanya, pada masa ini, sekurang-kurangnya tiga hakim akan mendengar permohonan berkenaan dan ia turut memakan masa.

“Menerusi penambahbaikan ini, ia akan membantu meningkatkan kecekapan pendengaran di Mahkamah Persekutuan dan pelaksanaan ini tidak memerlukan pindaan Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Bagaimanapun kita perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan untuk melihat sama ada ia boleh dilaksanakan dan bila ia dapat dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 5:58 PM