GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Poliana Ronnie Sidom


DUA lagi kanak-kanak yang masing-masing berusia lapan dan 11 tahun dijangkiti virus polio selepas kes pertama membabitkan bayi berusia tiga bulan yang dilaporkan bulan lalu.

Dua kanak-kanak bukan warga negara itu masing-masing menetap di Sandakan dan Kinabatangan disahkan positif virus itu berdasarkan ujian Makmal Polio Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia, semalam.

Kes terbaru itu menjadikan tiga kes polio dilaporkan di Sabah dengan ujian turut mendapati virus yang menjangkiti ketiga-tiga kes mempunyai kaitan genetik dengan kes polio di Filipina.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kanak-kanak itu tidak pernah menerima imunisasi dengan kanak-kanak berusia 11 tahun dimasukkan ke hospital pada 1 Disember lalu selepas mengadu sakit belakang dan tidak dapat berjalan.

“Seorang lagi kanak-kanak yang berusia lapan tahun mengalami demam sejak 9 Disember dan selepas tiga hari, tidak boleh berjalan. Kanak-kanak ini masih dirawat dengan bantuan pernafasan di hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, siasatan rapi dijalankan untuk mengenal pasti punca jangkitan kedua-dua kes dan dikenal pasti sebagai kes Accute Flaccid Paralysis (AFP).

Menurutnya, sehingga kini, seramai 705 penduduk di kawasan tempat tinggal kedua kanak-kanak terbabit sudah diperiksa.

“Tiada kes AFP lain dikesan. Seramai 65 kanak-kanak didapati tercicir imunisasi polio di kawasan kes terbabit dan sudah diberi vaksin polio menggunakan kombinasi lima serangkai serangkai (DTaP-IPV//HiB).

“Aktiviti kawalan polio di seluruh negeri giat dilaksanakan dengan kempen imunisasi polio yang mensasarkan kanak-kanak berumur bawah lima tahun bermula sejak 27 Disember,” katanya.

Bulan lalu, bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran disahkan dijangkiti virus polio yang menjadi kes pertama selepas 27 tahun negara ini bebas daripada penyakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 11:36 AM