Margreth@Majidah ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini. Foto Khairull Azry Bidin
Margreth@Majidah ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini. Foto Khairull Azry Bidin
Fardy Bungga

GURU besar sebuah sekolah di Sipitang, Kota Kinabalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini terhadap pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memberi kontrak kepada anaknya sendiri.

Margreth Francis@Majidah, 58, didakwa menggunakan kuasanya membabitkan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) berjumlah RM29,580 pada 2016.

Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Margreth yang ketika itu bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Solob, Sipitang menggunakan kedudukannya membuat keputusan meluluskan pemberian pembekalan RMTS bagi tempoh 2016 kepada Hakim Enterprise.

Kesalahan itu dilakukan pada 7 Januari 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin.

Terdahulu, SPRM meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Selain itu, SPRM juga meminta tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu dua bulan sekali dan pasport antarabangsa juga diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Margreth yang diwakili peguam Jacquelene Danica L Vun dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan memandang tertuduh akan pencen pada 27 Februari ini selain komited dengan memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudiannya menetap ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan deposit sebanyak RM4,000 dan seorang penjamin tempatan selain pasport diserahkan ke mahkamah.

Mahkamah menetapkan 18 Februari sebagai tarikh pengurusan kes manakala tertuduh diminta menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah pada 17 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 1:52 PM