Keadaan tanah mendap di Kilometer 9 Jalan Nanga Merit-Sangan di Tatau sejak semalam. Foto Erika George
Keadaan tanah mendap di Kilometer 9 Jalan Nanga Merit-Sangan di Tatau sejak semalam. Foto Erika George
Erika George

PENGGUNA jalan raya dinasihat agar berjaga-berjaga semasa menggunakan Jalan Nanga Merit-Sangan di Tatau berikutan berikutan berlakunya mendapan tanah di kawasan berkenaan sejak tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Tatau Deputi Superintendan Dennis Bunyam berkata, setakat ini, mendapan yang berlaku membabitkan 50 meter panjang dengan berlakunya penurunan tanah sekitar 0.5 meter hari ini.

“Bagi keselamatan pengguna jalan raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan semua penduduk setempat agar menggunakan laluan lencongan sedia ada demi keselamatan mereka sendiri serta bagi menghadapi mendapan susulan yang mengundang berlakunya runtuhan tanah, ” katanya.

Dennis berkata demikian dalam kenyataannya hari ini berhubung kejadian mendapan tanah yang berlaku di Kilometer 9 Jalan Nanga Merit-Sangan.

Setakat ini, katanya, beliau bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah melakukan tinjauan terhadap lokasi kejadian yang mana tindakan awal yang dilakukan jabatan itu dengan mengarahkan kontraktornya memasang papan tanda amaran, lampu sinar malam hari serta tali amaran keselamatan bagi memudahkan pergerakan pengguna di laluan terbabit.

“Pemerhatian awal yang kita lakukan mendapati faktor hujan lebat serta terdapat anak sungai di kaki cerun menyebabkan berlakunya mendapan serta penurunan tanah di laluan terbabit,” ujarnya.

Beliau dalam masa sama menasihatkan pengguna jalan raya terutama penduduk di kawasan Sangan dan Merit agar berhati-hati semasa menggunakan laluan terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 3:56 PM