PEMBINAAN blok asrama warga asing di Solok Beringin, Batu Maung, yang terlalu hampir dengan rumah penduduk. FOTO Zuhainy Zulkiffli
PEMBINAAN blok asrama warga asing di Solok Beringin, Batu Maung, yang terlalu hampir dengan rumah penduduk. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

PEMBINAAN blok ketiga bangunan asrama pekerja di Solok Beringin, Batu Maung, mendapat bantahan banyak pihak khususnya masyarakat yang tinggal berhampiran.

Asrama pekerja terletak di bahagian selatan Pulau Pinang yang hampir siap itu bakal didiami hampir 9,000 pekerja asing dalam pelbagai sektor di negeri ini.

Penduduk yang dikenali sebagai Andy, 40, berkata, kedatangan pekerja asing di kawasan itu dikhuatiri menimbulkan pelbagai masalah sosial selain pengabaian kebersihan dan kesesakan.

Katanya, sudah banyak kejadian berlaku di kawasan perumahan didiami warga asing sehingga ada yang membuka premis jualan secara tidak sah.

“Kenapa kita tidak ambil pengajaran daripada keadaan itu dan tidakkah kaji selidik atau penilaian dilakukan terlebih dahulu sebelum membinanya?

“Sudahlah sesak dengan pembangunan, sekarang kita hendak sesakkan lagi tempat ini dengan warga asing pula,” katanya.

Projek itu diluluskan pada April 2016 dan dijangkakan, dua kali sehari, 108 bas masuk ke lokasi itu untuk menjemput dan menghantar pekerja pulang.

“Ia sudah tentu menyesakkan jalan raya malah semua lokasi ini akan dipenuhi warga asing.

“Mungkin kebaikannya kerajaan dapat menguruskan penempatan warga asing ini tetapi ia akan mendatangkan pelbagai masalah lain pada masa depan,” katanya lagi.

Tinjauan Metro Ahad mendapati dua blok asrama menempatkan 6,000 warga asing sudah siap dan ada pembinaan susulan yang dijalankan.

Bahagian belakang asrama pula bersebelahan dengan rumah penduduk.

Baru-baru ini, sekumpulan penduduk dan aktivis mengadakan bantahan pembinaan asrama itu serta menuntut kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu.

Penduduk mendakwa lorong bagi kegunaan bomba akan digunakan bagi meletakkan bas pekerja sekali gus mengganggu tugas sekiranya berlaku kecemasan.

Mereka juga mendakwa sudah beberapa kali menghantar aduan kepada kerajaan negeri namun tiada maklum balas.

Aduan itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Abdul Halim Hussain.

Abdul Halim berkata, pihaknya akan membawa masalah itu kepada kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Katanya, pada 22 November lalu, beliau sudah menolak permohonan pemaju bagi pembinaan blok ketiga.

“Kita minta supaya kerajaan negeri dan MBPP mengkaji semula lokasi asrama ini dan jika tidak sesuai, ia perlu dibatalkan.

“Tanpa mengira salah sesiapa atau mana-mana agensi sekalipun, MBPP juga perlu ikut peraturan,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:30 AM