PERAHU kolek yang dinaiki sekumpulan peserta berbaju tradisional menyelusuri Sungai Pengkalan Datu. FOTO Syamsi Suhaimi
PERAHU kolek yang dinaiki sekumpulan peserta berbaju tradisional menyelusuri Sungai Pengkalan Datu. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi

KEHADIRAN sekumpulan individu memakai busana tradisional Melayu menaiki perahu kolek menyelusuri Sungai Pengkalan Datu mencuri tumpuan pengunjung di Pasar Terapung Pengkalan Datu, Kota Bharu, semalam.

Seramai 40 individu dari Persatuan Pencinta Busana Melayu Kelantan mencipta kelainan apabila berpakaian seperti zaman dahulu kerana mahu mengembalikan kegemilangan pakaian tradisional Melayu.

Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (Waspada), Mohd Asri Husin berkata, aktiviti menyelusuri Sungai Pengkalan Datu sudah diperkenalkan sejak tiga bulan lalu dan mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

“Aktiviti ini adalah satu tarikan bagi membolehkan pelancong dari dalam dan luar negara melihat sendiri pemandangan alam semulajadi serta aktiviti masyarakat sekitar Sungai Pengkalan Datu sekali gus mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Kelantan 2020.

“Pada masa sama, kita juga dapat menonjolkan aktiviti komuniti setempat seperti menangkap ikan secara tradisional dengan bubu, jala, pukat dan mencari lokan, menyadat nira nipah serta melihat habitat ikan air tawar (ikan belacak) sepanjang sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Berbusana Melayu di Pasar Terapung Pengkalan Datu, di sini.

AHLI  Waspada  berpakaian busana tradisional  sempena mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Kelantan 2020 dengan menaiki perahu kolek menyelusuri Sungai Pengkalan Datu. FOTO Syamsi Suhaimi
AHLI Waspada berpakaian busana tradisional sempena mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Kelantan 2020 dengan menaiki perahu kolek menyelusuri Sungai Pengkalan Datu. FOTO Syamsi Suhaimi

Hadir sama, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Maimun Mohd Hussain dan Penasihat Persatuan Pencinta Busana Kelantan, Mohamad Salleh.

Terdahulu, mereka dibawa menyelusuri Sungai Pengkalan Datu sejauh enam kilometer (km) selama hampir sejam bermula di jeti pasar terapung untuk melihat keindahan seni bina Masjid Ar-Rahman di Pulau Gajah.

Katanya, promosi itu bagi mengembalikan nostalgia kemasyhuran di Pengkalan Datu suatu masa dahulu di mana ada peninggalan sejarah berkait Puteri Saadong yang dikatakan pernah menjadikan tempat itu sebagai laluan ke Thailand.

Sementara itu, Mohamad berkata, idea memakai busana tradisional Melayu adalah bagi memperkenalkan asal usul busana tradisi negeri ini.

“Kita berharap aktiviti ini dapat mempromosi serta menggalakkan pelancong untuk lebih mengenali Pengkalan Datu, selain menjadi destinasi yang wajib dilawati.

“Insya-Allah, kami dalam perancangan untuk menyediakan khidmat menyewa busana tradisional Melayu kepada pengunjung untuk bergambar ketika menyelusuri sungai dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:20 AM