PENGURUS Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie (tiga kanan) bergambar bersama murid yang menerima bantuan 'Jom Kembali Ke Sekolah di Majma Mall,Kuching, hari ini.
PENGURUS Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie (tiga kanan) bergambar bersama murid yang menerima bantuan 'Jom Kembali Ke Sekolah di Majma Mall,Kuching, hari ini.
Norsyazwani Nasri

TABUNG Baitulmal Sarawak (TBS) memperuntukkan RM80 juta bagi membantu golongan asnaf di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengurus Besar TBS, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, jumlah itu adalah pertambahan peruntukan sebanyak RM5 juta berbanding RM75 juta yang disediakan tahun lalu.

"Lebih 3,000 asnaf membabitkan 1,200 keluarga menerima bantuan terbabit tahun ini.

"Bantuan ini adalah melalui program utama TBS iaitu bantuan pendidikan, bantuan kebajikan dan bantuan institusi Islam," katanya selepas menghadiri Program Baitulmal Bersama Asnaf- Jom Kembali Ke Sekolah di Majma Mall, hari ini.

Seramai 156 murid dan pelajar dari sekitar Kuching menerima bantuan keperluan asas persekolahan di majlis itu.

Mengulas lanjut, Abang Mohd Shibli berkata TBS hanya mahu membantu orang yang benar-benar berhak mendapat bantuan itu

“Setiap tahun kami sentiasa menambah jumlah peruntukan untuk diagihkan kepada penerima berdasarkan peningkatan kutipan zakat.

"Untuk tahun ini, kita sasarkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM100 juta," katanya.

Katanya, dalam tempoh lima tahun lalu, jumlah kutipan zakat yang berjaya dipungut oleh TBS meningkat sebanyak lima sehingga 10 peratus setiap tahun.

"Bagi meningkatkan kutipan dan memudahkan umat Islam di negeri ini membayar zakat kepada TBS, kami menyediakan kaedah pembayaran secara atas talian dan melalui pemotongan gaji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 5:00 PM