(DARI kanan) Abu Zarif Irwan bersama kembarnya Abu Zarif Irham, Muhammad Ammar Harris Md Rozaini bersama kembarnya Qhasif Aulia dan Muhammad Asyraaf Syabil bersama kembarnya Muhammad Asyraaf Syabil. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
(DARI kanan) Abu Zarif Irwan bersama kembarnya Abu Zarif Irham, Muhammad Ammar Harris Md Rozaini bersama kembarnya Qhasif Aulia dan Muhammad Asyraaf Syabil bersama kembarnya Muhammad Asyraaf Syabil. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


“KALAU tak sama kelas nanti, mesti abang rindu adik tapi nasib baik cikgu bagi kami sekelas, boleh duduk dekat-dekat nanti,” kata Abu Zarif Irwan Abu Bakar.

Abu Zarif Irwan, 7, dan kembar seirasnya, Abu Zarif Irham yang dipanggil adik memulakan sesi persekolahan baharu tahun satu di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini.

Selain mereka, dua lagi pasangan kembar yang turut memulakan persekolahan di sekolah sama ialah Muhammad Asyraaf Syahmi dan Muhammad Asyraaf Syabil Amir Shafie serta Qhasif Aulia Md Rozaini dan Muhammad Ammar Harris.

Menurut Abu Zarif Irwan, mereka teruja memulakan hari pertama sesi persekolahan sehinggakan bangun pada jam 7 pagi biarpun bersekolah di sesi petang.

“Kami gembira dapat belajar dalam satu kelas dan sebelum ini kami memang selalu bersama, cuma dekat tadika tahun lalu abang dan adik diasingkan kelas.

“Sebab itu kami cakap dengan mama kami nak sama kelas bila masuk tahun satu sebab nanti abang rindu adik... abang manja dengan adik, nak pergi tandas pun kami pergi sama-sama,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi bomba manakala adiknya pula polis.

Ibu mereka, Intan Shafinaz Khairul Anuar, 35, berkata, anak kembarnya itu sudah dihantar ke tadika sejak berusia lima tahun dan hanya tahun lalu mereka diasingkan kelas.

Katanya, dia dan suami yang juga anggota TLDM, Abu Bakar Mohd Yusof, 37, sepakat mahu mengasingkan anak mereka sebagai persediaan ke tahun satu supaya mereka boleh lebih berdikari.

“Mereka berdua memang tak boleh berenggang dan ketika dipisahkan kelas tahun lalu, mereka akan mencari antara satu sama lain dan menangis, malah Abu Zarif Irwan juga demam seminggu sebelum adiknya pula demam selepas itu.

“Mulanya cadang nak asingkan kelas juga bila masuk tahun satu tetapi kami fikir biarlah dulu mereka sekelas supaya lebih mudah kami memantau pelajaran selain mereka dapat menyesuaikan diri di sekolah ini,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Intan Shafinaz berkata, sebelum ini hampir setiap hari anak kembar yang dilahirkan secara normal selang enam minit itu akan menyuarakan keinginan untuk ditempatkan dalam kelas yang sama dan akhirnya gembira hasrat mereka tercapai.

Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Rohaizan Mohd Hanif berkata, seramai 266 murid tahun satu mendaftar di sekolah berkenaan dengan jumlah keseluruhan murid tahun ini seramai 1,273 membabitkan dua sesi persekolahan.

Katanya, tahun ini sekolah mengambil pendekatan berbeza dari sebelumnya dengan menempatkan tiga murid pasangan kembar ini dalam kelas yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 3:51 PM