Kelihatan seekor buaya di tebing Sungai Igan. FOTO Ihsan Pembaca
Kelihatan seekor buaya di tebing Sungai Igan. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Roji Kawi


JUMLAH buaya yang dipercayai semakin bertambah di Sungai Igan, Sibu, dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan.

Difahamkan, reptilia itu jarang kelihatan di sungai itu pada tahun 1970-an hinggalah pertengahan 1990-an.

Namun kini, penduduk mendakwa buaya boleh dilihat berjemur di tebing sungai ketika air surut setiap hari.

Lokasi buaya kerap ditemui sepanjang sungai itu ialah di Rantau Panjang, Penasu, Nanga Tutus, Kampung Bungan, Rassau,Muara Kabang, Sungai Pinang, Ilas, Kampung Kebuwau hinggalah di pengkalan feri Muara Igan.

Ketua Kaum, Kampung Bungan Besar, Sulaiman Hashim berkata, meskipun tiada rekod serangan buaya di sungai itu, penduduk tetap bimbang kerana sungai berkenaan menjadi nadi kehidupan mereka.

“Sungai ini menjadi jalan perhubungan penduduk juga menjadi tempat sumber rezeki nelayan yang mencari udang galah.

“Sejak buaya kerap kelihatan, penduduk semakin bimbang melakukan aktiviti di sungai,” katanya.

Menurut Sulaiman, populasi buaya di sungai itu semakin meningkat kerana ia mudah dilihat berbanding lebih 20 tahun lalu.

Justeru, beliau mengharapkan agar ada usaha untuk mengurangkan jumlah reptilia ganas itu untuk mengelak konflik dengan manusia.

Kebimbangan penduduk di Sungai Igan berasas kerana di satu lagi sungai utama berdekatan, Sungai Oya, berlaku tiga kes serangan buaya yang mengorbankan tiga pencari udang galah sejak 2017 hingga tahun lalu.

Pada Oktober 2016, taraf buaya sebagai haiwan terlindung dilupuskan susulan kejayaan Kerajaan Malaysia menurunkan taraf reptilia itu kepada haiwan yang boleh diburu pada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) di Afrika Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 2:47 PM