TERTUDUH berusia 38 tahun (baju hitam) didekati anggota polis untuk dibawa ke Mahkamah Majistret. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
TERTUDUH berusia 38 tahun (baju hitam) didekati anggota polis untuk dibawa ke Mahkamah Majistret. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu, hari ini mengarahkan seorang lelaki yang berdepan tuduhan cuba membunuh diri dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor untuk rawatan psikiatri.

Terdahulu, tertuduh yang berusia 38 tahun mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh diri dengan menggantungkan dirinya menggunakan tali nilon yang digantung pada siling rumah di Kuala Nerus pada 10.10 malam, 23 Disember 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Noradila kemudian menetapkan 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 2:45 PM