Lelaki Pakistan diapit anggota PPM bersama petrol yang dirampas selepas ditahan di kawasan jeti Kampung Air, Semporna. Foto Ihsan PPM
Lelaki Pakistan diapit anggota PPM bersama petrol yang dirampas selepas ditahan di kawasan jeti Kampung Air, Semporna. Foto Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming

CUBAAN lelaki menyeludup 425 liter petrol gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan jeti Kampung Air dekat Semporna semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sepasukan anggota mengesan dan menahan bot laju yang dikendalikan suspek di kawasan berkenaan pada 12.30 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki warga Pakistan berusia 27 tahun itu memiliki pasport yang sah.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot laju itu menemui 17 bekas dengan setiap satunya mengandungi 25 liter petrol yang disembunyikan dan disyaki cuba diseludup ke Filipina.

“Selain itu, suspek juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran atau permit yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa keluar barang kawalan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu kesalahan membawa atau memiliki barangan kawalan tanpa dokumen yang sah.

Menurutnya, pihaknya merampas bot laju yang digunakan suspek serta enjin sangkut berkapasiti 40 kuasa kuda dengan anggaran keseluruhan bernilai RM17,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 11:34 AM