GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

JABATAN Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji mekanisme alternatif yang bersesuaian digunakan di negara ini, bagi menangani masalah kesihatan mental sebelum pemansuhan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah dibentangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, mekanisme tersebut adalah perkara utama yang sedang dikaji dan dipastikan oleh pihak AGC pada masa ini, berlandaskan model yang berbeza daripada beberapa negara Komanwel.

Katanya, sejurus kajian AGC berkenaan mekanisme alternatif itu siap, satu kertas kerja dasar akan dirangka untuk dikemukakan kepada jemaah menteri untuk kelulusan.

“Sekiranya lulus, pindaan kepada Kanun Keseksaan bagi memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah di Malaysia akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Meneliti perkembangan pihak AGC pada masa ini, saya berharap untuk membentangkan pindaan ini di Dewan Rakyat secepat pertengahan 2020,” kata Liew dalam kenyataan, hari ini mengenai status pemansuhan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah.

Menurut Liew, pihak AGC telah memulakan kajian sejurus pengumuman beliau mengenai hasrat kerajaan memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah pada awal 2019 bagi menentukan cara terbaik untuk melaksanakan langkah progresif secara holistik.

Pihak AGC, katanya, sudah mengadakan sesi urus libat bersama pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha itu termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Belia dan Sukan; persatuan psikiatri; Befrienders dan persatuan agama bagi membantu kerajaan mendapatkan dan memahami pendapat pihak berkepentingan berkenaan cadangan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 8:42 PM