Hidayatul Akmal Ahmad


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti semua bentuk tuduhan berkaitan serangan ke atas tahanan dan tidak toleransi mengenai hal itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, pihaknya menyiasat aduan secara serius dan memberi kerjasama penuh kepada mana-mana badan penyiasat.

“SPRM meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangkap dan menahan suspek (bagi kes disiasat SPRM), termasuklah dalam kes tiga anggota polis yang didakwa diserang pegawai SPRM, minggu lalu.

“Dalam kes itu, anggota polis yang membuat aduan, sedang disiasat oleh SPRM atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap suspek penyalahgunaan dadah.

“Penyiasatan dibuat sebahagian daripada peningkatan operasi oleh SPRM Selangor, susulan dakwaan kegiatan pemerasan yang membabitkan anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, satu laporan polis juga sudah dibuat pegawai SRPM terbabit tuduhan serangan itu.

“SPRM akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan sebarang penyiasatan polis terhadap laporan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 2:55 PM