APM menangkap tedung selar di sebuah rumah di Presint 14, Putrajaya. FOTO ihsan APM
APM menangkap tedung selar di sebuah rumah di Presint 14, Putrajaya. FOTO ihsan APM
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KEPRIHATINAN penduduk menyelamatkan sebuah keluarga di Presint 14, Putrajaya, apabila kediaman mereka diceroboh ular tedung selar sepanjang lebih lima meter, semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika penghuni tiada di kediaman berikutan pulang bercuti ke kampung.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Putrajaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehadiran ular tedung selar itu dari penduduk jam 8.48 malam.

Susulan itu sepasukan lima anggota APM diketuai Koperal Norhaszlina Mohad Husin bergegas ke lokasi kejadian bagi mengesan lokasi ular itu bersembunyi.

“Difahamkan ada orang awam melihat ular berbisa itu melintas masuk ke halaman rumah salah seorang penduduk.

“Susulan itu anggota APM melakukan pemeriksaan secara berhati-hati di kawasan kediaman itu sebelum mengesan kelibat reptilia itu di tempat penyimpanan barang di luar rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, anggota APM kemudian menggunakan peralatan khas untuk menangkap reptilia itu yang didapati agak agresif.

“Ular tedung selar itu kemudian dimasukkan ke dalam sangkar sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Tangkapan ular ini dianggap paling besar dan panjang pernah dilakukan anggota APM Putrajaya berbanding ular tedung selar pernah ditangkap di Putrajaya sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 6:22 PM