ANTARA poster dipamerkan peserta himpunan solodariti terhadap etnik Uighur di Bangi, baru-baru ini. FOTO Rosela Ismail.
ANTARA poster dipamerkan peserta himpunan solodariti terhadap etnik Uighur di Bangi, baru-baru ini. FOTO Rosela Ismail.
Nurul Hidayah Bahaudin


PENYEBARAN artikel dan gambar palsu tular di media sosial mengenai penindasan etnik Uighur di China disifatkan sebagai tindakan berniat jahat oleh pihak tertentu.

Jurucakap Kedutaan Besar China di Malaysia berkata, sepanjang minggu lalu, media sosial di negara ini dibanjiri berita palsu berkaitan dengan Xinjiang.

“Penularan informasi palsu ini berulang ribuan kali sehingga ada pihak terpedaya dan mempercayainya. Ini adalah fakta menyedihkan, namun ia terus berlaku.

“Kami sentiasa terbuka kepada cadangan dan kritikan membina, namun tidak menerima tuduhan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas berdasarkan berita palsu,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, Xinjiang berada dalam keadaan aman dan menjadi destinasi perjalanan ideal untuk rakyat Malaysia terutama Muslim.

“Tiada sekatan untuk orang asing melawat Xinjiang dan mereka dialu-alukan untuk melawat ke sana serta melihat dengan mata sendiri,” katanya.

Terdahulu, satu artikel dipercayai dari negara jiran yang menunjukkan beberapa gambar dimanipulasi sebagai bukti penindasan terhadap etnik Uighur oleh kerajaan China tular di media sosial.

Antara gambar dipaparkan dalam artikel berkenaan adalah wanita diikat pada tangan dan kaki secara bergantung di katil bertingkat serta wanita diikat di bawah kerusi.

Bagaimanapun, menurut artikel berkenaan, gambar itu disunting daripada laman web berasingan dalam kejadian di lokasi lain yang dikaitkan dengan penindasan etnik Uighur di Xinjiang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 11:39 PM