BOT nelayan asing yang ditahan APMM Kemaman di perairan Kuala Kemaman, Chukai, pagi semalam. FOTO ihsan APMM
BOT nelayan asing yang ditahan APMM Kemaman di perairan Kuala Kemaman, Chukai, pagi semalam. FOTO ihsan APMM
Rosli Ilham


EMPAT nelayan warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menangkap ikan kira-kira dua batu nautika dari Kuala Kemaman, Chukai, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, semua nelayan terbabit yang menaiki dua bot gentian kaca ditahan pada 10.40 pagi.

Menurutnya, sewaktu anggotanya sedang menjalankan Ops Iman dan Op Naga Barat di sekitar kawasan perairan Terengganu, mereka terserempak dengan dua bot terbabit.

“Kedua-dua bot terbabit dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua nelayan berusia 30-an hingga 40-an terbabit adalah warga Myanmar dan mereka gagal mengemukakan lesen serta permit kebenaran menangkap ikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya.

Rashidilhadi berkata, susulan itu pihaknya merampas 20 kilogram ikan campur termasuk peralatan menangkap ikan.

Beliau berkata, semua nelayan asing, bot serta barang rampasan dianggarkan bernilai RM60,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Nelayan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen sah.

“Jika sabit dengan kesalahan, tekong bot boleh didenda sehingga maksimum RM6 juta manakala awak-awaknya boleh didenda sehingga RM600,000 serta bot mereka boleh dilucut hak.

“Kami akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan kepatuhan undang-undang dan keselamatan pengguna maritim di perairan Malaysia sentiasa terjaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 7:43 PM