MANGSA yang berkonvoi bersama rakannya maut selepas terbabas di Kilometer 5 Jalan Sungai Koyan-Raub. FOTO ihsan Polis
MANGSA yang berkonvoi bersama rakannya maut selepas terbabas di Kilometer 5 Jalan Sungai Koyan-Raub. FOTO ihsan Polis
Roselan Ab Malek

LELAKI berkonvoi motosikal bersama rakannya maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 5 Jalan Sungai Sg Koyan-Raub berhampiran Lipis, 12.45 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Muhammad Zulkarnain Ariffin, 30, beralamat di Taman Bukit Anggerik, Cheras, Kuala Lumpur.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan-rakan berkonvoi dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Cameron Highlands.

“Apabila sampai di tempat kejadian, jalan berselekoh dan mangsa melanggar tiang elektrik.

“Akibat kemalangan ini, mangsa maut di tempat kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat dan rakan-rakan konvoi diarah hadir ke IPD Lipis untuk rakaman saksi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 6:35 PM