Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Syaherah Mustafa


LELAKI ditahan bersama syabu dan wang tunai RM18,069.85 di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, semalam.

Dalam operasi 4.55 petang itu, suspek berusia 52 tahun ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota membuat pemeriksaan ke atas badan suspek namun tidak menemui barang salah.

“Bagaimanapun pemeriksaan ke atas pacuan empat roda Isuzu D-max dengan nombor pendaftaran Thailand dipercayai milik suspek menemui syabu seberat 2.2 gram (g) bernilai RM150, yang diisi dalam tiga tiub lutsinar di cermin sebelah penumpang hadapan.

“Selain itu, anggota turut merampas wang tunai berjumlah RM18,069.85 termasuk wang Thailand, disyaki hasil jualan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhari berkata, soal siasat awal, suspek mengaku dadah itu dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan.

“Suspek masuk mengikut pintu sempadan di Rantau Panjang, setiap hari dipercayai untuk menghantar bekalan dadah itu.

“Pihak kami turut menemui pasport, lesen memandu Thailand dan kad pengenalan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, ujian saringan air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah selain turut memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Mas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 10:48 AM