LAPORAN portal berita Harian Metro, Ahad lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro, Ahad lalu.
Nor Farhani Che Ad


LELAKI berusia 31 tahun yang dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan di tandas Surau Al Ikhlas Zon Mawar, Sungai Petani, pada 13 Disember lalu menyerah diri, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori itu hadir ke Balai Polis Bedong pada 3 petang.

“Suspek menyerah diri dan mengaku melakukan jenayah cabul terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu.

“Sebelum ini polis melakukan dua serbuan ke rumah suspek di Bedong tetapi lelaki terbabit tiada di rumah dipercayai melarikan diri sejak video perlakuannya tersebar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya merampas sehelai baju berwarna biru gelap bertulis ‘Keluarga’ dipercayai dipakai semasa kejadian.

Katanya, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa ketika itu sedang bermain bersama sepupunya di taman permainan bersebelahan surau berkenaan.

Suspek memanggil mangsa untuk melihat sesuatu di dalam tandas surau sebelum memeluk dan mencabul mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 12:13 AM